fb fb fb fb fb

Remaja, ekonomi kreatif dan digitalisasi fokus utama AMCA Ke-11

Pementasan Teater Puteri Hang Li Po pada 3 Oktober lalu membawa penonton menyelusuri sejarah Melaka dan China/Foto Ketua Menteri Melaka

MELAKA, 23 Oktober - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu remaja, ekonomi kreatif, dan digitalisasi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian Asean (AMCA) Ke-11.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman, berkata ketiga-tiga aspek ini berperanan sebagai jambatan budaya yang penting untuk memulihara serta memelihara seni dan budaya di rantau ASEAN.

Tambah beliau, inisiatif ini dijangka dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka yang terlibat dalam sektor ekonomi kreatif.

"Semasa berlangsungnya Mesyuarat Pegawai Kanan, delegasi daripada United Kingdom (UK) telah datang dan berkongsi pengalaman serta mengajak anggota-anggota ASEAN untuk berkolaboratif dalam membangunkan ekonomi kreatif ASEAN.

"Kami telah mengadakan perbincangan yang sangat terbuka dengan UK, dan dari segi ekonomi kreatif, ia memang akan menjadi satu tumpuan utama yang akan kita ambil.

"Malaysia juga akan mengambil inisiatif untuk mengetengahkan lagi ekonomi kreatif ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Melaka buat julung kalinya dipilih sebagai tuan rumah bagi AMCA ke-11 yang berlangsung selama 6 hari dari 21 Oktober hingga 27 Oktober depan.

Dalam pada itu, SOMCA membincangkan hala tuju dan isu penting mengenai kerjasama dalam pelbagai aspek kebudayaan, kesenian, dan warisan.

GRACE AISYAH KEDAYAN