ARAU, 25 Januari- Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia, Rejimen Askar Wataniah wajar diletakkan dalam status siap siaga dan boleh dimobilisasi apabila diperlukan.
Justeru, bagi memastikan konsep membantu ganti dapat diimplimentasikan, setiap pegawai dan anggota sukarela Rejimen Askar Wataniah mesti mempunyai kemahiran ketenteraan, sejajar dengan angkatan tetap.
Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkara berkenaan dapat direalisasikan menerusi penglibatan lebih aktif dalam menjalani latihan ketenteraan dan latihan bersama angkatan tetap melalui konsep afiliasi.
Baginda bertitah demikian ketika menerima sembah mengadap Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW), Leftenan Kolonel Lasahi Laiji bagi membincangkan hala tuju dan perancangan rejimen pada tahun 2023 di Bilik Persidangan, Galeri DiRaja Arau.
Pada masa sama, anak watan negeri Perlis yang sihat tubuh badan dan memenuhi keperluan minimum Tentera Darat Malaysia diminta tampil kehadapan untuk menyertai rejimen berkenaan dengan hadir ke Kem Bukit Keteri untuk mendaftarkan diri dalam Angkatan Sukarela.
(Foto fail)
Pendaftaran dalam Angkatan Sukarela ini amatlah diharapkan untuk sama-sama bertindak sebagai barisan hadapan bagi menghadapi sebarang ancaman kepada negara dari luar dan juga dalam negara sendiri.