KUALA LUMPUR, 2 Jun- Kerajaan terus menjunjung titah dan panduan diraja dalam melakar dasar-dasar negara bersifat inklusif, berdaya tahan dan berlandaskan prinsip MADANI.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa reformasi ekonomi menyeluruh serta perpaduan nasional adalah asas utama kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.
"Kestabilan dan perpaduan nasional adalah syarat asas kepada segala kemajuan. Dalam dunia yang cepat berubah dan sarat cabaran, perpaduan bukan pilihan ia adalah keperluan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara di sini.
Menurut Perdana Menteri meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan perdagangan global, Malaysia kekal teguh berdepan cabaran dengan langkah strategik yang inklusif, demi melindungi kebajikan rakyat serta kestabilan ekonomi negara.
Perkara itu termasuk Reformasi struktur ekonomi melalui pelaburan berkualiti tinggi, pemerkasaan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan inovasi teknologi.
Selain itu meningkatkan hasil domestik seperti agro tani dan produk tempatan sebagai asas daya tahan ekonomi rakyat.
Pada masa sama menunjukkan komitmen terhadap pembangunan seimbang antara infrastruktur fizikal dan kesejahteraan sosial Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai agenda pelancongan dan pemerkasaan budaya negara.
Perdana Menteri turut mengiktiraf kejayaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, termasuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang julung kali mempertemukan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan ASEAN dalam satu platform strategik.
Ia sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pemangkin kerjasama serantau dan global.
"Sidang Kemuncak tersebut, serta penganjuran LIMA 2025 di Langkawi, membuktikan bahawa semangat kerja berpasukan adalah kunci utama dalam menterjemah hasrat dan cita-cita negara," katanya lagi.
Beliau turut memuji kecekapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh jentera awam dan swasta terlibat.
Pada akhir ucapan, Perdana Menteri merafak doa agar Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sentiasa dalam lindungan dan keberkatan Allah SWT serta dikurniakan kesihatan berpanjangan.
"Seluruh rakyat menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda, serta memperteguh ikhtiar bersama demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air tercinta. Daulat Tuanku!," katanya.