Raptai penuh Istiadat Pembukaan Parlimen ke-15 lancar

Raptai penuh Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke-15

KUALA LUMPUR, 16 Januari – Raptai penuh Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke-15 berjalan lancar hari ini dengan turut mengambil kira faktor cuaca.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan kawalan kehormat berlatih di pekarangan Dataran Parlimen sejak awal pagi sebagai persiapan istiadat.
  • Latihan juga diadakan di Dewan Bankuet Blok Utama untuk alternatif jika cuaca tidak mengizinkan.
  • Raptai meliputi semua acara mengikut adat istiadat, protokol dan keselamatan termasuk Kawalan Kehormat Utama.

Kira-kira pukul 7.30 pagi, pasukan kawalan kehormat terlibat dalam istiadat itu sudah bersiap sedia berlatih di pekarangan Dataran Parlimen, di sini.

Pasukan berkenaan turut mengadakan latihan di ruang Dewan Bankuet Blok Utama, Bangunan Parlimen sebagai persediaan sekiranya cuaca pada hari istiadat yang berlangsung Isnin depan (19 Januari 2026) tidak mengizinkan selain faktor lain.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijadual menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke-15 itu di Dewan Rakyat pada pukul 10 pagi.

Raptai pada hari ini merangkumi semua acara dengan mengikut adat istiadat dan protokol termasuk Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dan keselamatan.

Dewan Rakyat akan bersidang pada 20 Januari hingga 3 Mac manakala Persidangan Dewan Negara pula akan bermula pada 23 Februari hingga 12 Mac 2026.