fb fb fb fb fb

Rangka dipercayai 'manusia' dalam perut buaya diserahkan kepada polis - SFC

KUCHING, 6 Jun- Susulan penemuan rangka yang dipercayai milik manusia dalam perut buaya seberat 300 kilogram di perairan sekitar Kampung Nyabut, Telaga Air semalam, Perbadanan Perhutanan Sarawak, SFC menyerahkan kepada pihak polis bagi tujuan forensik.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Oswald Braken Tisen, ia penting bagi mengenalpasti penemuan signifikan dalam perut buaya terbabit termasuk rambut, gigi dan rangka sama ada milik manusia atau monyet.

Sehingga itu, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada buaya gergasi lebih 4 meter yang ditemukan mati terjerat sejak tiga hari itu adalah suspek yang membaham adik Mohamad Adami Mokhtar pada 21 Mei lepas.

SFC jelasnya telah melakukan pemburuan intensif sejak 12 hari lalu bagi memburu buaya yang membaham kanak-kanak malang berusia 7 tahun itu, namun gagal membuahkan hasil walaupun dua ekor buaya telah terjerat.

Dihubungi RTM di Kuching, tambah Braken lagi kerja-kerja pemburuan dan penangkapan buaya perlu diserahkan kepada SFC dan mana-mana pihak tidak harus mengambil tindakan sendiri kerana ianya merbahaya.

Malah kerja-kerja pemburuan buaya memerlukan lesen dan permit kerana haiwan ini adalah terlindung di bawah undang-undang.


(Buaya seberat 300 kilogram ditangkap di perairan sekitar Kampung Nyabut, Telaga Air)

Media Baharu