fb fb fb fb fb

5 banduan Penjara Seremban terima pengampunan Yang di-Pertuan Agong

SEREMBAN, 6 Jun - Lima banduan dari Penjara Seremban hari ini dibebaskan setelah mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan rasmi baginda.

Pengarah Penjara Seremban, Penolong Komisioner Penjara Sharil Basir berkata sejak 21 Jun tahun lalu sebanyak 33 senarai nama telah dihantar kepada Lembaga Pengampunan untuk dipersembah bagi mendapatkan pertimbangan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Namun hanya lima rayuan diterima dan layak dibebaskan.

Mereka rata-ratanya dikenakan hukuman penjara sekitar lima tahun yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India.

(Pengarah Penjara Seremban, Penolong Komisioner Penjara Sharil Basir)

"Kami berasa amat bangga kerana banduan yang telah dipilih ni mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Secara tidak langsung ini proses yang mana pihak tertinggi Yang di-Pertuan Agong kenal pasti program beri pengampunan, bahawa banduan boleh diberi peluang kedua sekiranya mereka dijatuhkan hukuman. Maknanya diberi pengampunan untuk menjalani kehidupan seperti biasa selepas dibebaskan," kata Sharil di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Penjara Seremban.

Sementara itu banduan yang terpilih mendapat pengampunan melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan peluang kedua yang diberi.

Perkara pertama yang terlintas di fikiran mereka tatkala diberitahu dapat dibebaskan awal dari jangkaan waktu hukuman adalah untuk pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Pada mulanya memang macam tak percaya. Ini peluang besar bagi saya," kata banduan yang mendapat pengampunan, Lim Tack Hui.

"Sepatutnya saya bebas dalam tujuh bulan lagi. Apabila dapat bebas ini saya amat bersyukur. Tawaran ini satu perkara yang tidak dijangka. Saya ucap terima kasih kepada pihak penjara kerana banyak membantu untuk saya dapatkan peluang," kata kata banduan yang mendapat pengampunan, Muhamad Risfaizul Rusli.

"Semangat dapat pengampunan ini. Sangat gembira, terima kasih,"banduan yang mendapat pengampunan, Kumaran Sinadurai.

Media Baharu