(Foto fail)
KUALA LUMPUR, 8 Januari- Kehidupan rakyat Malaysia dijangka lebih mencabar pada tahun ini dengan kenaikan kos sara hidup, kadar faedah pinjaman dan pulangan pelaburan yang sederhana.
Menurut Perunding Kewangan, Datuk Muhammad Amir Abdullah, perancangan kewangan membantu individu untuk lebih bersedia menghadapi sebarang masalah seperti menampung kerugian pelaburan atau kes kecemasan.
"Rakyat di Malaysia yang dikatakan ekonominya stabil perlu juga ada persediaan. Persediaan dari segi kendiri, simpanan kecemasan, simpanan masa depan dan pelaburan. Jadi yang paling penting ialah simpanan kecemasan. Macam sekarang kita dah ada pakej insurans yang meliputi hibah. Tapi kecemasan dari segi kemudahan asas seperti masalah di rumah, masalah kenderaan, pembelajaran anak-anak, itu semua menggunakan tunai," kata Muhammad Amir.
Katanya melalui perancangan kewangan, setiap individu dapat mengenal pasti dan mengutamakan perkara yang penting. Ia juga dapat membantu mereka mengawal perbelanjaan agar tidak berlebihan dan memberi kesan jangka panjang kepada masa hadapan.
(Kehidupan rakyat Malaysia dijangka lebih mencabar pada tahun ini dengan kenaikan kos sara
hidup, kadar faedah pinjaman dan pulangan pelaburan yang sederhana)
Sementara itu Fasilitator Kewangan, Mohd Hasrul Syafiq Mohd Ismail berpendapat rakyat Malaysia perlu mendalami ilmu pengurusan kewangan memandangkan sebilangan besar generasi muda menjadi muflis kerana kurang mahir menguruskan kewangan persendirian.
"Sebenarnya anak muda ni perlu celik kewangan. Kita perlu dapatkan maklumat tentang cara penggunaan kewangan dengan baik. Yang kedua kita perlu tahu tentang asas kewangan , maksudnya asas-asas buat pinjaman dengan bank kita kena tahu. Kalau tidak kita akan tersilap langkah," ujarnya.
Kedua-dua mereka ditemu bual selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.