KOTA TINGGI, 11 Januari- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa masyarakat untuk peka dengan unjuran ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia bagi memastikan rakyat sentiasa bersedia dalam menghadapi bencana banjir.
Ramalan cuaca dikeluarkan MET Malaysia, dilihat dapat membantu rakyat melakukan persediaan awal bagi menghadapi sebarang bencana.
"Rakyat seharusnya lebih responsif dan mengambil tahu dalam musim-musim seperti ini, sumber ramalan sumber yang paling berwibawa dalam membuat ramalan tentang keadaan cuaca adalah Jabatan Meteorologi. Jadi unjuran itulah yang digunakan oleh pihak berkuasa yang menguruskan pusat", katanya kepada media selepas Program Lawatan ke Kawasan Terjejas Banjir di pusat pemindahan sementara, Dewan Kota Kecil, Kota Tinggi.
Sementara itu, sebanyak 65 lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan panas (hotspot) banjir di Kota Tinggi.