fb fb fb fb fb

'Jerung-jerung' besar terlibat rasuah akan ditangkap - Anwar

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 11 Januari- Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangkap 'jerung-jerung' besar terlibat rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata siasatan SPRM lebih teliti dan pendakwaan dilakukan sekiranya terdapat bukti kukuh.

Siasatan SPRM juga lebih menyeluruh dan tidak melibatkan individu tertentu sahaja.

"Itu urusan SPRM tetapi saya tidak mahu orang anggap ini perkara yang kecil, baru, lama, tak boleh. Orang kalau dia tak salah, tak perlu bimbang kerana siasatan itu teliti dan pendakwaan akan dikemukakan sekiranya ada bukti yang kukuh," kata Anwar ketika ditemui pemberita pada program ramah mesra bersama petugas Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan sektor logistik dan pelabuhan di Malaysia sangat baik.

Perkara itu menjadikan PTP layak menduduki kedudukan ke-15 sebagai pelabuhan tersibuk di dunia.

PTP juga menduduki tempat keenam pelabuhan paling cekap di dunia berdasarkan laporan global Container Port Performance Index (CPPI) yang dilancarkan Bank Dunia tahun lalu.

Katanya, kejayaan itu hasil pengurusan cekap dan komitmen serta disiplin tinggi warga PTP.

Sementara itu, kumpulan MMC Corporation Berhad akan melabur RM26 bilion bagi pembangunan kawasan Sungai Pulai termasuk RM10 bilion bagi pembangunan PTP dalam tempoh lima tahun akan datang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM