JOHOR BAHRU, 11 Januari- Semua majikan kerajaan dan swasta harus beri perhatian dan pertimbangan kepada kebajikan serta kemudahan kakitangan masing-masing selari dengan keuntungan diterima.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata aspek pendidikan, kesihatan dan perumahan perlu diberi perhatian untuk memangkin ekonomi.
"Aspek kedudukan, pelajaran, pendidikan, perumahan kakitangan dan pekerja ini, semuanya harus diberi pertimbangan. Ini yang akan menjadikan Malaysia berbeza dengan yang lain. Memacu pertumbuhan ekonomi tetapi tidak tinggal soal ihsan dan kemanusiaan."
"Jadi, perumahan, kemudahan kehidupan dan keselesaan mereka harus diberi perhatian," jelas Anwar ketika berucap semasa Majlis Ramah Mesra bersama petugas dan kakitangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Justeru, kerajaan komited menyokong usaha syarikat-syarikat kerajaan dan swasta yang mahu menambah baik kemudahan kepada kakitangan masing-masing.