KUANTAN, 24 Disember - Sambutan positif rakyat terhadap Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Pahang jelas apabila merekodkan kadar penggunaan hampir 100 peratus.
Angka berkenaan membuktikan bantuan tersebut benar-benar dimanfaatkan penerima bagi menampung keperluan harian.
Bantuan bulanan itu digunakan secara konsisten oleh golongan bekerja sendiri, berpendapatan tidak tetap dan B40, khususnya untuk pembelian barangan dapur dan keperluan asas keluarga, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Seorang suri rumah, Noraklima Abdul Majid, berkata SARA amat bermakna buat keluarganya kerana bantuan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya setiap bulan.
“Penggunaan SARA ini sangat-sangat bermakna untuk saya sebab setiap bulan saya akan habiskan RM200 ini untuk ambil barang-barang dapur… SARA ini memang sangat-sangat membantu bagi yang berstatus B40", jelasnya.
Bagi Roslan Hussin, seorang petani, bantuan itu memberi kelegaan dalam mengurus perbelanjaan isi rumah, malah baki perbelanjaan boleh dimanfaatkan untuk bulan berikutnya.
“Bila beli barang, kalau ada baki sikit, boleh bawa ke bulan depan. Memang ada kebaikan dari segi SARA", katanya.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Rusnita Hassin, berharap bantuan berkenaan dapat diteruskan kerana memberi manfaat besar kepada dirinya dan keluarga.
“SARA sangat membantu saya dan keluarga. Kalau boleh, tahun depan ada lagi SARA", ujar Rusnita.
Secara keseluruhan, sambutan menggalakkan terhadap SARA di Pahang menunjukkan program itu terus memberi impak langsung kepada rakyat berpendapatan rendah dalam menangani cabaran kos sara hidup semasa.
SARA RM100 adalah bantuan tunai sekali bayar yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa perlu membuat permohonan dan boleh digunakan di lebih 7,000 premis perniagaan berdaftar seluruh negara sehingga 31 Disember ini.