fb fb fb fb fb

Rakyat Malaysia terbabit gempa di Turkiye akan dibawa pulang

(Sidang media oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin selepas
menyempurnakan pelepasan Misi Bantuan Kecemasan Gempa Gaziantep Turkiye
dan Syria Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia MAPIM di KLIA)

SEPANG, 8 Februari- Kerajaan sedang berusaha membawa keluar 13 rakyat Malaysia yang masih terperangkap di beberapa wilayah yang terlibat dalam kejadian gempa bumi di selatan Turkiye.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata ketika ini, Wisma Putra mengadakan perbincangan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul mengenai kaedah bagi tujuan itu sebelum disusuli proses membawa mereka yang terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita itu pulang ke tanah air.

“Kita dimaklumkan ada 13 rakyat Malaysia yang terperangkap dalam zon berlakunya gempa dan keadaan mereka sihat walafiat.

"Cuma perhubungan agak susah bagaimana untuk bawa mereka ini keluar, ianya masih diuruskan oeh pihak kedutaan kita dan kita minta rakyat Malaysia yang berada di kawasan gempa Turkiye harap bersabar dan tetap waspada terhadap apa yang berlaku serta sentiasa berhubungan dengan pihak kedutaan,"katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan Misi Bantuan Kecemasan Gempa Gaziantep Turkiye dan Syria Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata misi kemanusiaan itu akan berada di Turkiye serta Syria selama 17 hari.

Beliau berkata sebanyak RM1 juta dana diperuntuk bagi membeli barangan keperluan yang akan disumbang kepada mangsa di wilayah terjejas.

Pada awal pagi Isnin, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahrananmaras dan menggegarkan beberapa wilayah lain termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adiyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay serta Kilis.

Satu lagi gempa bumi kuat bermagnitud 7.6 yang berpusat di daerah Elbistan di Kahmaranmaras berlaku pada 1.24 tengah hari semalam (6.24 petang waktu Malaysia).


(Peserta Misi Bantuan Kecemasan Gempa Gaziantep Turkiye dan Syria MAPIM

menyiapkan kelengkapan sebelum bertolak di KLIA)

Media Baharu