fb fb fb fb fb

Sekretariat Kerajaan Perpaduan tubuh tiga jawatankuasa

(Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat
Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn,
Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 8 Februari- Sekretariat Kerajaan Perpaduan menubuhkan tiga jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pilihan Raya bagi merangka strategi menghadapi Plilhan Raya Negeri.

Perdana Menteri memberitahu dua lagi jawatankuasa ialah Jawatankuasa Strategi dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

“Jawatankuasa Pilihan Raya akan menumpukan pilihan raya negeri yang akan diadakan bila-bila masa termasuk hal-hal pembahagian kerusi serta memastikan tapak dan kesepakatan yang kukuh antara parti termasuk Sabah dan Sarawak,”katanya.

Jawatankuasa Pilihan Raya akan bersidang dalam masa terdekat melibatkan pengarah pilihan raya setiap parti.

Beliau berkata, bawah jawatankuasa itu juga akan ada jawatankuasa komunikasi strategik untuk menangani fitnah-fitnah melampau seperti dalam kes pembakaran al-Quran baru-baru ini.

“Isu pembakaran al-Quran, itu beberapa orang yang kononnya tokoh- tokoh agama mengunakan kenyataan dalam ucapan mereka seolah-olah kita tidak berbuat apa-apa, atau belum berbuat apa-apa, padahal pada masa itu kita telah keluarkan kenyataan yang keras, mengecam….Menteri Luar juga telah memanggil duta Sweden dan berikutnya saya mengumumkan pengedaran satu juta al-Quran,” tambahnya.

Beliau memaklumkan perkara itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama sekretariat itu di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Sementara itu,  Perdana Menteri yang juga Pengerusi Sekretariat mengumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff sebagai Setiausaha Agung Sekretariat, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat manakala ketua-ketua parti di bawah Kerajaan Perpaduan sebagai Timbalan Pengerusi Sekretariat.

“Pengerusi setiap jawatankuasa akan ditentukan kemudian, manakala terma bagi setiap jawatankuasa ialah memastikan setiap dasar-dasar disepakati bersama selain diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Sekretariat juga akan memberi pandangan tentang dasar Kerajaan Perpaduan dan memastikan semua pandangan diambil kira dalam merumuskan dasar-dasar yang akan dibuat,” katanya.

Beliau berkata  Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan bermesyuarat setiap bulan. 


(Perdana Menteri bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan

mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn,
Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur)

Media Baharu