fb fb fb fb fb

Rakyat Malaysia ke Thailand disaran memiliki insurans

SONGKHLA, 8 Mei- Rakyat di negara ini yang ingin berkunjung ke Thailand disaran membeli insurans seperti insurans wajib, insurans sukarela dan insurans perjalanan yang ditawarkan sebagai persediaan awal bagi sebarang kemungkinan tidak diingini.

Ini termasuk kemasukan ke wad, kemalangan, sakit secara tiba-tiba serta jangkitan COVID-19.

Menurut Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid, "kos rawatan di hospital swasta di Thailand berkemungkinan boleh mencecah beberapa kali ganda lebih tinggi dari Malaysia, maka pemegang insurans akan mendapat perlindungan risiko dalam menghadapi sebarang kemungkinan tersebut."

Beliau memaklumkannya perkara itu ketika mengiringi Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada dua buah masjid di wilayah Songkhla iaitu Masjid Asasul Islam dan Masjid Assalam berjumlah RM1,000 setiap sebuah.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis,Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Terdahulu, baginda berdua turut melawat ke Ban Nakorn Nai Museum buat julung kalinya sambil diiringi oleh Presiden Majlis Pelancongan Songkhla, Chanin Sakarin.

Ia diasaskan oleh Krachang Jaruprukphan yang telah menghidupkan semula bandar lama Songkhla dengan mempamerkan barangan antik seperti perabut antik lama, kayu, meja dan pinggan mangkuk dari zaman purba China serta mempamerkan potret-potret Raja Bhumibol Adulyadej.

(Pemangku Raja Perlis sampaikan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis)

Media Baharu