fb fb fb fb fb

Rakyat harap kerajaan terus perketat kawalan kemasukan pengembara

MELAKA, 8 Januari- Masyarakat berharap kerajaan dapat terus memperketat kawalan kemasukan pengembara asing ke negara ini berikutan kebimbangan terhadap kenaikan kes dan penularan varian baharu COVID-19 ketika ini.

Malah saringan juga perlu dibuat kepada rakyat tempatan yang baharu pulang dari negara lain terutamanya dari China.

Menurut Zulkifli A. Rahim yang ditemui pemberita berkata, "kita tidak mahu perkara ini terjadi seperti sebelum ini. Kemasukan daripada pengembara menjadikan kes COVID-19 di dalam negara semakin bertambah. Lebih baik elakkan daripada perkara ini berulang."

Bagi Mohd Ghazali Abdul Hadi, kawalan mengetatkan kemasukan pengembara "merupakan satu langkah yang baik. Namun tindakan itu bukanlah hanya tertakluk kepada satu negara sahaja.

"Ia perlu dilakukan kepada pengembara dari negara lain juga, kerana kita sendiri tidak tahu status kesihatan mereka. Apabila kita memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara ia secara tidak langsung boleh mengawal penularan COVID-19."

Perkara tersebut turut dipersetujui Haslinda Musa untuk "mengekang penularan virus tersebut. Kemasukan menerusi laluan udara juga perlu diambil kira, terutamanya di lapangan terbang di seluruh negara."

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Imigresen memperketat kawalan kemasukan pelancong asing ke dalam negara bagi mengekang COVID-19.

Malah Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa juga memaklumkan kementeriannya akan menerangkan mengenai kesiapsiagaan bagi mengawal penularan wabak itu pada Selasa ini.

(Foto hiasan)

Media Baharu