fb fb fb fb fb

Rakyat diseru menyumbang kepada tabung wakaf pembangunan semula Gaza

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Februari- Rakyat Malaysia diseru menyumbang kepada tabung wakaf pembangunan semula Gaza yang kini digerakkan di seluruh negara bertujuan mengumpul dana bagi membina semula hospital, sekolah serta masjid yang telah musnah untuk rakyat Gaza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyambut baik usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan inisiatif pembangunan semula Gaza bagi meringankan beban rakyat Palestin.

"Jadi kita nak gerakkan tabung pembangunan semula Gaza ini yang diluncurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ke seluruh negara dan saya mengajak seluruh masyarakat yang Islam dan bukan Islam untuk menyumbang kepada tabung wakaf pembangunan Gaza ini.

"Insya-Allah, dengan sikap dan sifat kemurahan hati yang ada di kalangan rakyat Malaysia ini, saya yakin kita akan dapat mengutip satu jumlah yang besar", katanya.

Tambahnya, rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang agama, digalakkan untuk bersama-sama terlibat menyumbang kepada tabung wakaf ini.

Turut sama dalam usaha ini ialah badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Majlis Agama Islam Negeri. Orang ramai masih boleh menyumbang dan jumlah dana terkumpul akan diumumkan dalam masa terdekat.

Selain Gaza, Malaysia turut memberi tumpuan kepada bantuan untuk Universiti Al-Quds di Baitulmaqdis, selaras dengan hasrat Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri, baru-baru ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri telah menyatakan komitmen Malaysia untuk  membantu rakyat Palestin menghadapi krisis yang berterusan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Pelancaran Program Ihya’ Ramadan 2025 peringkat kebangsaan di Putrajaya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan kepentingan Ramadan adalah sebagai madrasah rohani dan pemacu kepada pembentukan ummah MADANI.

"Menekankan isu pembentukan akhlak melalui gagasan kalimah toyyibah. Jadi kita harapkan sempena dengan bulan Ramadan ini, kita akan dapat mengajak masyarakat Islam secara keseluruhannya untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia dan yang ini yang ditekankan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembinaan masyarakat MADANI.

Beliau turut menyeru agar masyarakat menjadikan Ramadan sebagai platform untuk memperkukuh ukhuwah dan meningkatkan keupayaan intelektual menerusi majlis ilmu.

Media juga diharapkan dapat memainkan peranan khususnya menyebar luas maklumat Ihya’ Ramadan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh semua masyarakat.

Dengan tema “Ramadan Pemacu Ummah Madani”, Ihya’ Ramadan tahun ini menyaksikan 97 program utama yang dianjurkan oleh pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Antara program yang dirancang termasuk solat berjemaah, tadarus al-Quran, qiamullail, majlis khatam al-Quran, iftar beramai-ramai serta sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan.

ROSLINA BINTI DIN