KUALA LUMPUR, 31 Januari- Sultan dan raja-raja Melayu tiba di Istana Negara pagi tadi bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini di ibu negara.
Mesyuarat itu dijadual berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada pukul 11.00 pagi dan dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Setakat pukul 10.00 pagi tadi, beberapa kenderaan rasmi membawa Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mula tiba di Istana Negara antaranya Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Sultan Johor Sultan Ibrahim akan melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam mesyuarat kali ini, manakala Sultan Perak Sultan Nazrin Shah akan melafaz sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong buat kali ketiga.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.