Raja Puan Muda Kedah zahir keprihatinan lawat mangsa letupan universiti swasta

Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff/ Foto Facebook Kedah Royal Family

KUALA LUMPUR, 16 Januari – Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berkenan melawat salah seorang mangsa letupan universiti swasta, Reeya Kaur yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Puan Muda Kedah melawat mangsa letupan di Hospital Kuala Lumpur sebagai tanda keprihatinan.
  • Lawatan mencerminkan komitmen baginda sebagai Penaung Diraja Persatuan Kesihatan Mental Malaysia.
  • Baginda menzahirkan doa agar mangsa sembuh sepenuhnya dan dapat meneruskan pengajian di United Kingdom.
  • Penghargaan disampaikan kepada pasukan perubatan atas usaha rawatan dan pemeriksaan yang diberikan.

Lawatan itu sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan mencerminkan komitmen berterusan baginda sebagai Penaung Diraja Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA).

“Perkara ini sememangnya amat menyayat hati, namun dia telah menerima rawatan dan pemeriksaan terbaik. Saya mendoakan agar dia sembuh sepenuhnya seperti sedia kala dan dapat meneruskan pengajiannya di United Kingdom.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pasukan perubatan di sini dan berharap mereka dapat meneruskan usaha cemerlang ini,” demikian titah baginda selepas berkenan melawat Reeya Kaur di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di ibu negara.

Sebelum ini media melaporkan pelajar tahun pertama jurusan undang-undang itu sedang menerima rawatan perubatan dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Reeya, 19 tahun, mengalami patah tengkorak dan pendarahan di otak selepas sebuah pemampat pendingin hawa meletup ketika kerja-kerja penyelenggaraan di universiti berkenaan di Bukit Damansara.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan