fb fb fb fb fb

Raja Permaisuri berkenan melawat Taska Genius Perpaduan

(Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama
kanak-kanak Taska Genius Perpaduan Taman Sri Rampai ketika melawat taska berkenaan/fotoBERNAMA)

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Taska Genius Perpaduan Taman Sri Rampai, di sini.

Lawatan ini sempena sambutan Ulangtahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat sama anakanda baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.

Tunku Hajah Azizah meluangkan masa hampir satu jam untuk beramah mesra bersama kanak kanak dan tenaga pengajar di Taska Genius Perpaduan berkenaan.

Baginda turut mengurniakan cek sumbangan RM30,000 kepada Kementerian Perpaduan Negara yang diserahkan kepada Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique.


(Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan beramah mesra
dengan kanak-kanak Taska Genius Perpaduan ketika melawat taska berkenaan/fotoBERNAMA) 
 

Taska Genius Perpaduan Sri Rampai ini mempunyai 18 orang kanak-kanak dan mula beroperasi pada bulan Februari tahun 2010 di Pusat Rukun Tetangga Seri Rampai dengan empat orang pendidik dan dua orang pembantu pendidik.

Taska Genius Perpaduan diinspirasikan daripada program PERMATA Negara yang memfokuskan kepada asuhan dan didikan awal bagi kanak-kanak di bawah umur empat tahun dalam menerapkan nilai-nilai murni dan hidup bermasyarakat.

Sehingga kini terdapat 41 buah Taska Genius Perpaduan di seluruh negara yang melibatkan kanak kanak berumur dua tahun sehingga empat tahun.

Media Baharu