SEREMBAN, 21 September- Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan komited merealisasikan Kempen Penanaman 1.5 juta pokok di negeri itu menjelang tahun hadapan.
Menurut Timbalan Pengarahnya, Mohd Rizal Sabran usaha itu mampu dicapai dengan penglibatan dan sokongan pihak swasta yang tampil menyumbang serta menyertai kempen berkenaan.
Kempen itu merupakan antara usaha kerajaan negeri menyokong kempen penanaman 100 juta pokok di seluruh negara sekali gus mencerminkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan memelihara ekosistem hutan.
"Kempen 100 juta pokok ini memang beri impak yang baik terutama kepada kesedaran rakyat bagi menghayati bagaimana untuk mencintai alam sekitar.
"Jadi kita pupuk semangat itu melalui kempen penanaman pokok. Harap generasi akan datang dapat membantu menjayakan kehijauan ini dan menjaga khazanah negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penanaman 600 Anak Pokok Meranti dan Merawan anjuran KPJ Seremban di Hutan Simpan Serting, Jempol.
Program disempurnakan oleh Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.