fb fb fb fb fb

Raja Muda Perlis yakin UniMAP berupaya realisasikan agenda pendigitalan TVET

Tuanku Syed Faizuddin (tengah) berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di surau universiti, Kampus Alam Pauh Putra, di sini hari ini

ARAU, 1 Februari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan terus bertindak sebagai penyedia program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pengajian tinggi bagi meningkatkan lagi aspek pengajaran dan pembelajarannya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebagai salah sebuah universiti dalam rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN), UniMAP bertanggungjawab dan komited melahirkan graduan yang beretika melaksanakan tugas.

"Ini termasuklah menyelesaikan masalah dan membuat keputusan penting dalam mendepani pelbagai cabaran serta perubahan persekitaran.

"UniMAP akan merancang serta melaksanakan agenda transformasi digital dan menjadikannya sebagai antara contoh amalan terbaik oleh universiti di dalam dan luar negara," titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah baginda turut menaruh keyakinan bahawa kepakaran yang ada di UniMAP berupaya merealisasikan agenda pendigitalan TVET.

Terdahulu, baginda berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di surau universiti, Kampus Alam Pauh Putra, pada Khamis lalu.

Pada majlis itu, MAIPS menyalurkan sumbangan sebanyak RM98,000 kepada UniMAPS.

Seramai 140 orang pelajar golongan asnaf menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang.

GRACE AISYAH KEDAYAN