ALOR GAJAH, 1 Februari - Kompleks Air Panas Gadek berwajah baharu dijangka dibuka kepada orang ramai selepas Hari Raya Aidilfitri pada April depan.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kompleks tersebut kini hampir 95 peratus sudah disiapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada 20 Februari ini .
Katanya, Kompleks Air Panas Gadek yang dinaik taraf dengan konsep ‘Wellness and SPA Resort’ mampu menjadi antara tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
Tambahnya, projek yang dibangunkan atas sifat air panas secara semula jadi dengan kadar suhu antara 56 hingga 42 darjah celcius menjadi sebagai lokasi produk pelancongan berasaskan kesihatan.
"Yang direncanakan semula untuk menjadikan lebih moden, lebih mudah. Menjadikan tarikan pelancong yang baru kita sempurnakan dengan pembinaan chalet yang terbaru jadi kalau nak tanya jangkaan jauh lebih awal sudah ada. Jadi kita hanya menyediakan dan menyempurnakan dalam suasana yang lebih selesa dan baik untuk kehadiran pelancong diraikan di Melaka ini," kata Ab Rauf kepada pemberita dalam sidang media selepas melawat tapak projek di Kompleks Air Panas Gadek, di sini.
Projek tersebut melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM18.5 juta dengan keluasan 4.155 hektar.