fb fb fb fb fb

Raja Muda Perlis: Solidariti kepada sukarelawan GSF

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, adalah tidak wajar sama sekali bagi sukarelawan yang menghulurkan bantuan kemanusiaan ditahan dan dihalang daripada melaksanakan misi mereka /RTM

ARAU, 2 Oktober- Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bil. 5/2025 yang bersidang hari ini telah membincangkan mengenai perkembangan terkini yang berlaku ke atas para Sukarelawan Global Sumud Flotilla di persempadanan Gaza, Palestin.

Seluruh dunia sedang mengikuti rapat perkembangan semasa di Gaza, khususnya berkenaan tindakan pihak Zionis yang menahan beberapa sukarelawan kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Palestin.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, adalah tidak wajar sama sekali bagi sukarelawan yang menghulurkan bantuan kemanusiaan ditahan dan dihalang daripada melaksanakan misi mereka.

Titah baginda, lebih mendukacitakan lagi sekiranya diperlakukan apa yang tidak sewajarnya dan tindakan ini jika benar, jelas bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan prinsip hak asasi manusia.

"Di negeri Perlis tercinta, seluruh masjid telah melaksanakan bacaan Qunut Nazilah sejak 8 April 2025 sebagai tanda solidariti dan doa kepada saudara-saudara kita di Palestin."

"Sayugia MAIPs menyeru agar umat Islam, khususnya rakyat Perlis, terus memperteguhkan doa, memperbanyakkan amal soleh, serta bersatu hati dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas."

MAIPs juga menyeru seluruh dunia tanpa mengira bangsa, agama dan negara agar berusaha sedaya upaya memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat, tanpa sebarang sekatan atau penindasan, demi menyelamatkan nyawa dan meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, kesabaran dan kemenangan kepada umat Islam di Palestin, serta melindungi para sukarelawan yang berjuang demi kemanusiaan.

SITI NOORAIN ABDULLAH