fb fb fb fb fb

'Raja Libas' sepak takraw Adnan Saidin meninggal dunia

ALOR SETAR, 15 Mei- Raja libas Sepak Takraw Negara, Adnan Saidin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar, pagi tadi akibat masalah kesihatan.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata allahyarham meninggal dunia ketika waktu Subuh.

Beliau berkata semalam allahyarham Adnan dikatakan mengalami pendarahan dalam kepala.

“Meninggal dunia di HSB, sebab masih belum diberitahu. Namun ada pendarahan dalam kepala semalam,” katanya ketika dihubungi RTM.

Baru-baru ini, allahyarham dilaporkan dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar kerana mengalami sakit jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Bekas ketua pasukan negara dari 1980 hingga 1986 dan Kedah, 1976 hingga 1992 itu telah bersara daripada tugas di sebuah syarikat utiliti negara dan mempunyai enam anak.

Terkenal dengan libas pari di posisi apit kiri, Adnan kerap bergandingan dalam regu negara dan Kedah dengan Shukri Ismail selaku apit kanan atau pengumpan dan Azman Ismail selaku tekong.

Bersama negeri Jelapang Padi, mereka juga pernah menjulang Piala Emas Khir Johari dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan pada tahun 1981, 1985, 1986 dan 1987.

(Arwah Adnan Saidin dalam satu perlawanan sepak takraw)

Media Baharu