fb fb fb fb fb

Seorang lelaki ditahan, cuba seleweng minyak diesel

ALOR SETAR, 15 Mei- Perbuatan mencurigakan seorang pemandu lori mengisi minyak diesel dalam kuantiti yang banyak, berjaya membongkar aktiviti penyelewengan minyak diesel.

Lelaki terbabit ditahan sepasukan polis di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar, petang semalam.

Kes diserahkan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Kedah (KPDN) untuk tindakan lanjut.

Pengarah KPDN Kedah Affendi Rajini Kanth berkata, dalam kejadian itu, pasukan Polis telah menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun ketika sedang mengisi minyak di stesen minyak berkenaan.

Hasil pemeriksaan lanjut terhadap lori berkenaan, menemui tangki tambahan yang disi minyak diesel dalam anggaran 1,500 liter.

“Polis kemudian bertindak menahan seorang suspek kerana disyaki menyeleweng minyak diesel. Minyak diesel dalam anggaran 1,500 liter dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM3,255 disita.

"Lori bernombor pendaftaran tempatan turut disita bagi tujuan siasatan lanjut dan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM9,255.00,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada minyak berkenaan untuk diseludup ke negara jiran atau dijual kepada pihak yang tidak sepatutnya.

(Lori yang digunakan untuk mengisi minyak diesel)

Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Siasatan turut dijalankan terhadap stesen minyak berkenaan di bawah Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

KPDN memberi amaran keras dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan ini.

Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

KPDN sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan di seluruh negara bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan yang seterusnya akan merugikan negara.

Bagaimanapun, KPDN sentiasa memperkasakan penguatkuasaan yang tegas di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan kepulauan, kawasan sempadan, kawasan perindustrian/eksport, kawasan bandar serta di luar bandar.

KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi seperti minyak diesel yang diberikan oleh kerajaan.

Media Baharu