fb fb fb fb fb

Isu air bukan bahan untuk dipolitikkan - PM

(Anwar Ibrahim)

PUTRAJAYA, 15 Mei- Isu air yang melanda di beberapa buah negeri termasuk Kelantan dan Sabah bukan bahan untuk dipolitikkan, malah kerajaan perlu mengambil alih tanggungjawab tersebut demi kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun ia melibatkan perbelanjaan yang besar, pengubahsuaian perlu dilakukan agar negeri berkenaan dapat mengatasi isu berkenaan.

Ujar beliau, secara dasarnya, rancangan membaik pulih bekalan air di negeri itu akan mengambil masa yang lama disebabkan ia termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

"Saya akan bincang dengan semua agensi termasuk Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. Itu kena anjakan yang besar, tiada dalam rancangan, ada pun ia secara berperingkat, tetapi saya tidak boleh terima kenyataan ini, ada hal-hal yang patut disegerakan," katanya selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’ Seri Endon, Puspanita, di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali  

Dalam pada itu, penjawat awam juga diingatkan untuk sentiasa bersedia melakukan anjakan daripada norma kebiasaan bagi memastikan hasil kerja yang berkualiti.

"Sebab itu saya minta dengan semangat yang ada, kita bersedia melakukan beberapa anjakan. Umpamanya, kita sekarang persiapkan kajian semula separuh penggal RMKe-12, bukan bermakna kita meremehkan usaha yang lama, tetapi kita mesti ada semangat untuk sentiasa berusaha ke arah lebih cemerlang untuk tengok sebarang kelemahan," katanya.

Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut menyatakan, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan memberi sepenuh komitmen untuk tidak melayan sebarang sabotaj bagi menjatuhkan kerajaan.

Ini memandangkan banyak program yang dirangka kerajaan sekarang lebih banyak menyantuni rakyat serta menyakinkan berikutan adanya kerajaan yang stabil.

"Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan semalam telah menetapkan satu bentuk kerajaan yang kukuh.

"Ketua-ketua parti, baik Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi komitmen sangat jelas dan tidak akan melayan terhadap sebarang percubaan untuk mensabotaj kerajaan," katanya.

(Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Bersama Warga JPM di
Dewan De’ Seri Endon, Putrajaya)

Media Baharu