fb fb fb fb fb

Pusat Pengalaman 'My5G Portal' dilancarkan, pamer keupayaan teknologi 5G

My5G Portal bukti komitmen kerajaan menempatkan Malaysia sebagai hab digital

KUALA LUMPUR, 26 Oktober- Digital Nasional Berhad (DNB) melancarkan My5G Portal, sebuah Pusat Pengalaman 5G bertempat di lobi TRX Exchange 106 di ibu negara.

Pusat tersebut bertujuan mempamerkan keupayaan teknologi 5G merangkumi 12 industri, antaranya penjagaan kesihatan, bandaraya pintar, keselamatan awam, logistik, mobiliti dan peruncitan.

Dalam ucapan perasmian, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menekankan peranan pusat tersebut dalam mencerminkan peranan penting 5G dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.

"Kelajuan median 5G Malaysia adalah pada 485.25 Mbps menempatkan kita sebagai yang terpantas dalam kalangan negara Asia Tenggara dan ketiga di dunia", katanya dalam semasa berucap pada pelancaran Pusat Pengalaman ’My5G Portal’ DNB di sini hari ini.

My5G Portal juga bukti komitmen kerajaan menempatkan Malaysia sebagai hab digital, selain bakal memanfaatkan syarikat, perkhidmatan awam, pakar akademik dan orang ramai mengenai pengaplikasian 5G dalam perniagaan dan kehidupan.

My5G Portal dibangunkan DNB bersama rakan strategiknya Ericsson.

Orang ramai boleh menyertai lawatan berpandu yang dijadualkan bermula pada 27 Oktober.

Untuk info lanjut, layari www my5gportal.com.my.

ROSLINA BINTI DIN