fb fb fb fb fb

Kementerian Pertahanan pertimbang hantar tentera pengaman ke Palestin

Datuk Seri Mohamad Hasan

PORT DICKSON, 26 Oktober- Kementerian Pertahanan perlu menunggu keputusan daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan penghantaran pasukan tentera Malaysia sebagai tentera pengaman dalam misi membantu rakyat Palestin.

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, pihaknya bersedia mempertimbang keputusan yang dibuat oleh PBB berkenaan perkara itu.

"Jadi sebagai negara yang menyertai PBB, kita akan tunggu dan kita akan lihat keputusan PBB dan kita akan menilakeperluan tentera Malaysia menyertai misi pengaman ini.

"Jadi belum ada apa-apa keputusan, kita tidak secara tergesa-gesa menghantar pasukan tentera kita di sana," katanya kepada pemberita ketika ditemui media pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini.

Dalam perkembangan lain, berkenaan penyelarasan pencen anggota ATM, perkara itu belum dapat diselesaikan sehingga diputuskan oleh mahkamah.

Mohamad Hasan berkata, pihaknya akan meniliti dan menilai perkara itu sebaiknya selain cadangan yang turut dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan perkara itu.

"Disebabkan ada anggota tentera yang membawa kes ini di mahkamah, jadi saya tidak boleh nak kata setakat mana ia dibincangkan.

"Dan kita tidak boleh kata apa rancangan kita dan apa yang kita buat sehinggalah keputusan mahkamah dibuat. Namun kita akan membuat apa jua rancangan dan keputusan berasaskan keputusan mahkamah," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI