fb fb fb fb fb

Malaysia bakal miliki pusat kajian telekomunikasi satelit pertama

FOTO FACEBOOK Fahmi Fadzil

BEIJING, 28 September- Malaysia bakal menubuhkan pusat kajian dan penyelidikan serta pusat kecemerlangan pertama dalam bidang telekomunikasi satelit dengan kerjasama syarikat teknologi satelit China, Geespace, dan syarikat telekomunikasi tempatan, Altel.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pusat tersebut akan menjadi platform untuk menjalankan lebih banyak kajian dalam teknologi direct-to-cell menerusi satelit orbit rendah (LEO), yang mampu membantu usaha kerajaan meluaskan penggunaannya di seluruh negara.

Teknologi tersebut berupaya membantu menyelesaikan masalah kesalinghubungan di kawasan terpencil termasuk mereka yang berada di sempadan negara.

"Dengan adanya pusat kecemerlangan atau pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi teknologi satelit ini, saya percaya ia akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menceburi bidang ini. Tidak dinafikan, ini merupakan satu bidang baharu yang berpotensi besar dan mampu menjana pendapatan untuk negara.

"Harapan saya, pusat R&D ini dapat meningkatkan mutu, kualiti, serta jumlah kajian yang boleh diterjemahkan kepada produk komersial, khususnya dalam bidang teknologi satelit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama antara Geespace yang diwakili Ketua Pegawai Teknologi Edison Ding dan Altel diwakil Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Group Sdn Bhd Mohamad Helmi Harith.

Teknologi direct-to-cell membolehkan telefon menerima isyarat telekomunikasi daripada satelit LEO tanpa sebarang perkakasan tambahan dan berupaya beroperasi pada ketinggian 300 hingga 2,000 kilometer dari permukaan bumi.

Sementara itu, Fahmi turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti permohonan teknologi berkenaan.

Beliau juga mencadangkan agar Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerbitkan rancangan atau dokumentari mengenai teknologi tersebut bagi meningkatkan pemahaman rakyat terhadap aplikasi berkenaan.

"Saya telah meminta pihak MCMC meneliti aspek permohonan tersebut dan mengarahkan RTM untuk menilai kesesuaian dalam menerbitkan rancangan atau dokumentari berkaitan teknologi ini serta teknologi baharu yang disebut sebagai emergence technology (teknologi muncul).

"Ini bertujuan agar rakyat Malaysia lebih memahami aplikasi dan manfaat teknologi ini kepada negara," katanya.

Altel dan Geespace kini sedang mengusahakan satu bukti konsep bagi teknologi LEO Satellite Internet of Things (IoT), High Precision Positioning dan Direct-to-Cell menjelang suku kedua 2025.

Fahmi kini sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke China dan akan berlepas ke Korea Selatan esok bagi menyertai GSMA Mobile 360 APAC serta menyampaikan ucaptama dalam sesi Building the AI-Enabled Digital Backbone.

SITI AISHAH MD ISA