IPOH, 12 April- Kerajaan Perak melalui Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) sentiasa mengambil langkah memperbaiki kelemahan selain penambahbaikan syor yang dikemukakan Jabatan Audit Negara berkaitan isu tanah rizab Melayu di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata isu itu mendapat perhatian berikutan pemilikan tanah berkenaan didapati berubah sedangkan status rizab Melayu masih kekal dan tidak berbangkit.
"Perkara ini isu lama malah kes-kes yang berlaku ada alasan tersendiri sebagai contohnya sebuah syarikat Bumiputera dijual kepada bukan Bumiputera sekali gus ia berhak kepada pemilikan harta syarikat berkenaan.
"Rizab Melayu akan kekal dengan statusnya walaupun milikan oleh bukan Melayu jadi tidak timbul cerita PTG perlu kembalikan tanah Rizab Melayu kerana tanah itu tidak bertukar langsung statusnya," katanya.
(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad)
Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Penyerahan 11,000 Pek Juadah Raya Kerajaan Negeri Perak Kepada Pasukan Badan Beruniform di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Terdahulu dilaporkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menghantar memorandum menggesa Jabatan Audit Negara supaya memberi syor dan saranan kepada PTG Negeri Perak untuk mengembalikan tanah rizab Melayu.
Mengulas lanjut Saarani berkata PTG telah mengambil inisiatif secara berterusan untuk menambah baik polisi pemerkasaan tanah rizab Melayu di Perak malah berusaha menambah peratusan keluasan tanah rizab Melayu.
"Jika ada Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) diluluskan, maka kita daftarkan ia sebagai Rizab Melayu, jika ada Rancangan Pertanian Berkelompok pun kita letak di bawah Rizab Melayu termasuk kawasan yang turut dimiliki Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kita rizabkan ia sebagai Rizab Melayu," katanya- BERNAMA