KUALA LUMPUR, 12 April- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli ke Majlis Berbuka Puasa bersama warga Angkatan Tentera Malaysia di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan di ibu negara.
Program disertai 1,200 warga ATM.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 6.50 petang disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan Panglima ATM diikuti sesi penyampaian ampun kurnia oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kepada 50 anak yatim.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi berbuka puasa dan solat Maghrib secara berjemaah sebelum Seri Paduka Baginda berdua berangkat pulang.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.
(Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menghadiri
Majlis Berbuka Puasa Bersama ATM di Masjid Khalid Al Walid/BERNAMA))