fb fb fb fb fb

PSKL 2040: DBKL diminta laksana segera penambahbaikan draf , warta sebelum hujung tahun ini- PM

(Datuk Seri Anwar  mempengerusikan taklimat bagi mendengar dan meneliti laporan sesi libat urus pindaan
Draf PSKL 2040 bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL, semalam/ FOTO: Pejabat Perdana Menteri)

KUALA LUMPUR, 18 Julai- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta supaya segera melaksanakan penambahbaikan Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) dan mewartakan dokumen itu sebelum penghujung tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan taklimat bagi mendengar dan meneliti laporan sesi libat urus pindaan Draf PSKL 2040 bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL semalam berkata secara dasarnya, beliau berpuas hati dengan laporan sesi libat urus yang dibentangkan.

Katanya, DBKL perlu memberi tumpuan mengekalkan kawasan rizab hutan dan kawasan lapang.

Ia bagi memastikan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya hijau, sihat dan rancak dapat dicapai.

Selain itu, beliau bersetuju supaya perumahan mampu milik diperluaskan bagi menampung permintaan terhadap jenis perumahan tersebut oleh warga kota Kuala Lumpur. 

"Cadangan ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan perumahan mampu milik melalui konsep Kejiranan MADANI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kerajaan amat komited bagi memastikan penyediaan PSKL 2040 ini adalah komprehensif dan bersifat inklusif untuk rakyat selaras dengan visi Kuala Lumpur, Bandar Untuk Semua," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata berdasarkan perlanjutan sesi libat urus yang diadakan bermula 18 hingga 26 Mei lepas, sebanyak 639 pandangan daripada 425 peserta yang hadir dalam sesi libat urus tersebut diterima DBKL.

PSKL 2040 adalah salah satu komponen utama Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 yang mengandungi visi, matlamat, hala tuju strategi dan tindakan untuk memandu Kuala Lumpur bagi 20 tahun akan datang. 

Antara kandungan drafnya adalah mengintegrasikan penggunaan tanah dengan perancangan infrastruktur, pengangkutan, penyediaan perumahan mampu milik, pekerjaan, kemudahan awam serta peningkatan kualiti alam sekitar dan ruang awam. 




(FOTO HIASAN/ BERNAMA) 

Media Baharu