fb fb fb fb fb

KPKM jamin bekalan beras mencukupi, harga terus dikawal

(FOTO BERNAMA)

SEKINCHAN, 18 Julai - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan beras negara mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya juga akan memastikan harga jualan barang kawalan itu akan terus kekal rendah.

Katanya, walaupun terdapat kekurangan bekalan namun ia ditampung oleh beras import.

(Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad
Sabu / FOTO BERNAMA)

"Tidak berkurangan, cuma bila berlaku cuaca yang tidak menentu sebelum ini, hasil padinya agak menurun. Tetapi tahun ini di Kedah dan Perlis kita lihat pokoknya cantik dan dia akan kembali pulih pada tahun ini.

"Memang kekurangan ini ditampung oleh beras import untuk sementara," katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah kilang beras, di sini.

Tambah Mohamad, peruntukan RM3 bilion yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk meningkatkan infrastruktur berkaitan tanaman padi diyakini mampu meningkatkan jumlah keluaran padi.

"Persediaan kita sekarang ini memastikan sawah-sawah dibuat dan dijaga dengan baik, Sekinchan yang hasilkan agak tinggi kita bawa sekinchan, ala Sekinchan ke negeri-negeri lain seperti ke Kedah, Terengganu dan Pahang supaya hasil akan meningkat pada masa akan datang.

"Kita tidak boleh main-main lagi dan kita sentiasa tekankan cukupkan bekalan beras adalah tugas utama bagi kementerian ini," katanya.

Selain itu, Mohamad berkata harga beras tempatan akan terus dikekalkan serendah RM2.60 sekilogram manakala beras import dijual RM3.20 sekilogram.

Media Baharu