TUMPAT, 26 Oktober- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan membantu penduduk terjejas banjir yang kehilangan kad pengenalan (Mykad) dengan gantian kad baharu dalam tempoh sepantas 30 minit.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ia membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Proses tersebut dilakukan tanpa sebarang caj dan turut membabitkan kes-kes kemusnahan dokumen seperti sijil lahir atau sijil-sijil lain yang dikeluarkan JPN.
(Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh)
"Seluruh pejabat cawangan kita akan bergerak membantu mereka di mana musibah itu berlaku dengan erti kata lain disamping Program Mekar, pejabat-pejabat cawangan juga akan turun padang bersama agensi lain untuk memastikan mereka yang kehilangan dokumen kita buat gantian segera terutama dalam keadaan pilihan raya yang akan datang.
"Setiap pengundi perlu ada Mykad. Sekiranya berlaku kehilangan kad pengenalan atau disebabkan banjir atau musibah lain, kita akan buat pengantian dengan kadar segera", katanya.
Beliau hadir Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri JPN di Kampong Laut, Tumpat.
Pada program itu, MyKad dan sijil lahir disampaikan kepada warga emas terlantar, Wan Nab Ismail, 83 tahun yang berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam sejak lahir.