fb fb fb fb fb

Proses evakuasi 15 warga Malaysia dari Lubnan

Foto facebook Wisma Putra

PUTRAJAYA, 1 Oktober- Kementerian Luar Negeri Malaysia melalui Kedutaan Besar di Beirut sedang melaksanakan proses evakuasi 15 rakyat Malaysia bersama tiga warganegara asing yang merupakan pasangan kepada rakyat Malaysia berikutan keadaan keselamatan yang semakin meruncing di negara itu.

Kementerian dalam satu kenyataan pada Selasa berkata sembilan rakyat Malaysia telah meninggalkan negara itu secara sukarela manakala empat rakyat Malaysia memilih untuk terus kekal di Lubnan.

“Empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di Lubnan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat ke atas Lubnan.

“Kekejaman rejim Zionis Israel ini secara jelas telah melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan serta kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut menekankan adalah penting bagi semua pihak untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau berkenaan.

"Malaysia bersolidariti bersama Lubnan dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak rejim Zionis Israel melaksanakan gencatan senjata segera bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat di Lubnan," tambah kenyataan itu.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN