KANGAR, 12 Februari - UMNO Bahagian Kangar mengambil inisiatif mempromosi lokasi-lokasi menarik sekitar daerah itu menerusi platform media sosial, bagi menyokong Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Tumpuan utama diberikan kepada peniaga-peniaga kecil di tepi jalan, peniaga di kawasan kampung dan taman perumahan mahupun lokasi baharu pelancongan di sini, agar masyarakat luar mengetahui tentang keunikan dan tarikan terbaharu di Perlis.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya usaha itu digerakkan Biro Media Sosial yang akan menjelajah ke seluruh kawasan Parlimen Kangar bertemu peniaga untuk mempromosi produk masing-masing.
Pendekatan menerusi Pelancongan Versi Kangar tersebut berikutan ramai peniaga kecil mengambil peluang mencari rezeki khususnya ketika Tahun Melawat Perlis berlangsung dengan sasaran kehadiran pelancong hingga 4 juta.
"Platform utama seperti Tik Tok, Facebook, Instagram dan lain-lain dilihat menjadi trend ketika ini khususnya dikalangan generasi muda dan seharusnya inisiatif mempromosikan pelancongan ini dilihat memberi nilai tambah kepada pelancong untuk bertandang ke negeri Perlis.
"Usaha ini juga bagi membantu penggiat industri pelancongan agar lebih kreatif dalam mempelbagaikan pakej pelancongan agar lebih menarik yang dapat memenuhi kehendak pelancong yang inginkan perkhidmatan terbaik, lokasi menarik serta berbaloi dengan percutian ke Perlis.” jelas Dr Fathul pada Program Ziarah Kasih sekitar Kangar.
Menerusi promosi berkenaan juga, penggunaan media sosial dilihat mempunyai pengaruh cukup besar dalam industri pelancongan ketika ini dan sekurang-kurangnya dengan pendekatan dilaksanakan itu memberikan limpahan rezeki kepada peniaga kecil.