Projek ternakan babi mesti elak kawasan cetus kegelisahan penduduk – PM

Foto 𝟮𝟬𝟮𝟲 𝗣𝗘𝗝𝗔𝗕𝗔𝗧 𝗞𝗘𝗧𝗨𝗔 𝗦𝗘𝗧𝗜𝗔𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔 𝗡𝗘𝗚𝗔𝗥𝗔

PUTRAJAYA , 9 Februari – Projek penternakan babi tidak wajar diteruskan di kawasan yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penduduk setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek penternakan babi tidak wajar diteruskan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk.
  • Cadangan projek mesti dinilai dari segi kesihatan awam, alam sekitar dan gangguan bau sebelum keputusan dibuat.
  • Tiada komuniti harus dipaksa menerima projek yang menjejaskan kualiti hidup mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang cadangan projek perlu dinilai terlebih dahulu dari segi kesihatan awam, kesan terhadap alam sekitar dan gangguan bau sebelum keputusan dibuat.

“Bincang dulu dari segi kesihatan boleh atau tidak, dari segi alam sekitar boleh atau tidak, dari segi bau okey atau tidak. Tapi ini belum terus kita kena hentam. Tak boleh sebab kalau kita tolak awal tanpa dengar, orang kata kita tak sabar,” katanya.

Menurut beliau, projek yang dimulakan tanpa pertimbangan rapi akan menimbulkan kesukaran besar untuk diselesaikan pada masa depan.

“Bila kita dah mula, ia jadi masalah. Tutup pun masalah besar, tak tutup pun masalah besar. Sebab itu jangan memulakan perkara yang boleh menimbulkan masalah,” katanya.

Perkara itu disampaikan Datuk Seri Anwar semasa perjumpaan bersama warga Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersempena perhimpunan bulanan kementerian berkenaan di Putrajaya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan dari segi dasar penternakan babi tidak ditentang dan masyarakat bukan Islam tidak dilarang memakannya.

Pada masa sama, beliau menegaskan tiada komuniti harus dipaksa menerima projek sedemikian di kawasan kediaman mereka sehingga menjejaskan kualiti hidup.