KUALA LUMPUR, 24 Januari- Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis Waktu Waktu Bekerja Berlainan (WBB) untuk memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas perkara itu dirujuk kepada Jemaah Menteri hari ini.
"Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Abu Bakar Suleiman.
"Terma-terma rujukan jawatankuasa ini terkait pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penjadualan waktu kerja," menurut kenyataan hari ini.
Bagaimanapun KKM akan meneruskan usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja selamat dan adil khususnya petugas kesihatan.
Sebelum ini, Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa kementerian itu untuk menarik balik WBB serta-merta dengan dakwaan projek berkenaan dibangunkan tanpa penglibatan pihak berkepentingan utama.
Pada masa sama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan projek rintis itu akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada.
Selain itu ia akan menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan dan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.