fb fb fb fb fb

Projek PEH bantu tangani peningkatan kos sara hidup

(Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ditemu bual media selepas melancarkan Projek Pertanian
Pemacu Ekonomi Hidroponik di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri, Perlis) 

BESERI, 8 Disember - Sejumlah RM750,000 disalurkan kerajaan negeri Perlis di bawah projek jaminan bekalan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Peruntukan ini memberi manfaat kepada 125 peserta yang dipilih daripada 15 kawasan Dewan Undangan Negeri bagi melaksanakan Projek Pertanian Pemacu Ekonomi Hidroponik (PEH).

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli memaklumkan, projek ini memberi tumpuan kepada golongan asnaf, golongan berpendapatan rendah B40 dan belia berumur 18 hingga 40 tahun.

Usaha ini bagi menggalakkan penduduk untuk menanam dan mengeluarkan sendiri bahan makanan yang sihat dan selamat bagi menampung keperluan harian.

Selain itu juga, ianya juga bagi mengurangkan kos belanja dapur dan kos sara hidup serta meningkatkan pendapatan dan ekonomi isi rumah seterusnya menjadi sumber pendapatan keluarga.

(Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli melancarkan Projek Pertanian Pemacu Ekonomi
Hidroponik di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri, Perlis)

"Satu projek yang cukup baik untuk memastikan bekalan makanan, membantu rakyat yang kurang mampu untuk menyediakan bekalan makanan yang bersih dan berzat lah, jadi kita harap keseluruhan rakyat ini akan dapat menerima projek yang seumpama ini dan positifkan semua perkara yang kita buat dan membantu kerajaan negeri di bawah Jabatan Pertanian untuk melaksanakan projek yang seumpama ini lah," kata beliau ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Projek Pertanian Pemacu Ekonomi Hidroponik di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, di sini hari ini.

Setiap peserta yang terlibat dapat menghasilkan sebanyak 73.2 kilogram sayuran sawi bagi setiap pusingan tanaman dengan anggaran hasil mencecah hampir RM300.

Secara keseluruhannya, hasil sayuran berdaun dapat dituai bagi setiap pusingan ialah sebanyak 9.15 metrik tan dengan nilai pengeluaran sebanyak RM36,600, manakala bagi 10 pusingan disasarkan sebanyak 91.5 metrik tan dengan nilai RM366,000.

Media Baharu