LANGKAWI, 23 November - Projek naik taraf Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Belanga Pechah di Langkawi, Kedah dilancarkan secara rasmi hari ini menerusi projek bernilai RM25.7 juta.
Projek tersebut akan menggunakan teknologi kejuruteraan moden bagi memastikan operasinya lebih selamat, efisien dan mesra alam.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kong Ming, antara teras projek ini adalah penggunaan teknologi "Reinforced Earth Wall" sebagai struktur asas, yang lebih kukuh dan mampu melindungi kawasan Taman Geoforest Kilim yang berhampiran.
Keunikan tapak tersebut juga terletak pada statusnya sebagai tapak pelupusan pertama di Malaysia yang dibina di bawah paras laut.
Kejayaan projek tersebut juga dilihat selari dengan beberapa kejayaan lain yang telah dicapai oleh KPKT.
Di Batu Pahat, Johor, Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Payong bernilai RM63.8 juta berjaya dinaik taraf menjadi "regional landfill" pertama di negeri itu.
Sementara di Pulau Pangkor, Perak, tapak pelupusan Teluk Chempedak bernilai RM21.12 juta mencipta sejarah sebagai tapak pelupusan pertama di negara ini yang dibina di dalam laut, menangani isu kekangan tanah di kawasan pulau.
"Tahun lepas kita telah berjaya melakukan tranformasi tapak pelupusan sisa pepejal dijadikan Taman Rekreasi Lestari Park. Saya bagi contoh dekat Tenggara Johor tahun lepas dibawah 350 metrik tan sampah, di atas itu Lestari Park untuk kegiatan sukan beriadah tanpa sebarang bau dan pencemaran", katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Program Sentuhan Kejayaan KPKT di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal, Kampung Belanga Pecah, Langkawi, hari ini.
Projek di pulau tersebut dijangka siap berperingkat mulai Februari 2026 dan diharap dapat menjadi contoh terbaik pengurusan sisa lestari, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI.
Tambahnya, usaha komprehensif tersebut membuktikan komitmen kerajaan untuk membangunkan infrastruktur pengurusan sisa yang mampan, bukan sahaja di Langkawi, malah di seluruh negara.