(Foto BERNAMA)
PERMATANG PAUH, 6 Mei- Kerajaan Persekutuan akan menambah dana dalam satu skim yang besar bagi melaksanakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya di negeri itu.
Anwar akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Pulau Pinang dalam tempoh dua minggu ini bagi membincangkan perkara tersebut.
"Ia memerlukan bantuan dana tambahan oleh kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan projek terbabit.
"Oleh itu, dalam tempoh satu ke dua minggu ini, kita akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Pulau Pinang untuk mengadakan skim yang benar-benar cukup kerana peruntukan ini agak besar termasuk juga pinjaman yang memerlukan campur tangan kerajaan Persekutuan dapat disegerakan," katanya kepada pemberita di sini.
Sebelum ini Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata kerajaan Pulau Pinang tidak pernah berputus asa dalam meneruskan usaha melaksanakan projek LRT Komtar ke Bayan Lepas yang memberi manfaat kepada seluruh penduduk di negeri itu.
Projek berkenaan sentiasa dalam senarai untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi dipertimbangkan dalam Bajet 2023 Persekutuan.
Dakwaan segelintir pihak yang mengatakan projek terbabit tidak tersenarai dalam bajet 2023 adalah tidak benar.
(Foto BERNAMA)