fb fb fb fb fb

Projek Lebuhraya WCE siap sepenuhnya 2027

Gambar arkib/Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Lapan daripada 11 seksyen Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) telah siap beroperasi sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad , Lyndon Alfred Felix berkata, baki tiga seksyen utama lebuh raya yang belum siap iaitu Seksyen 3, 4 dan 7 sedang giat dibina selain memastikan ia menepati tarikh yang telah ditetapkan.

Beliau menegaskan WCE komited memastikan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) disiapkan menjelang 2027, sekali gus membuktikan syarikat berada di landasan kukuh untuk mencatat keuntungan jangka panjang.

"Bahagian selebihnya ialah seksyen 3, 4 dan 7. Kami menjangkakan seksyen 7 akan siap pada penghujung tahun 2026 dan semoga seksyen 3 akan siap pada suku pertama tahun 2027."

"Apabila jajaran penuh siap sepenuhnya, kami yakin aliran trafik akan lebih kukuh dan memberi impak besar kepada pertumbuhan hasil tol," katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-24, semalam.

Setakat ini, seksyen 1, 2, 5 dan 6 di Selangor serta seksyen 8 hingga 11 di Perak telah pun beroperasi.

Menurutnya, trafik di seksyen yang telah dibuka turut mencatatkan perkembangan positif, seiring dengan unjuran asal syarikat.

Cabaran utama yang dihadapi WCEHB kini adalah isu pengambilan tanah di Lot 15762 di Seksyen 3.

Jelasnya, meskipun pampasan telah dibayar, pemilik tanah berkenaan masih enggan mengosongkan kawasan berkenaan.dan ia merupakan pengambilan tanah terakhir yang tertunggak sebelum jajaran penuh boleh disiapkan.

"Kami telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan kerajaan negeri, Persekutuan dan pihak berkaitan dan berharap dalam tempoh dua bulan lagi isu ini dapat diselesaikan," katanya.

WCEHB turut mencatatkan hasil sebanyak RM629.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, iaitu peningkatan sebanyak 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, dipacu oleh kemajuan pembinaan serta hasil kutipan tol.

Selain projek lebuh raya, WCEHB juga sedang melaksanakan kontrak pembinaan bernilai kira-kira RM800 juta, termasuk Projek Seri Langat, Seksyen 7B serta pembinaan kawasan rehat dan rawat (R&R).

ASHRIQ FAHMY AHMAD