KOTA BHARU, 12 Mei - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menjadi pemangkin dan pencetus kepada pembangunan bagi negeri-negeri yang dianggap terpisah daripada perkembangan pesat di Lembah Klang.
Ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL di Kota Bharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu, ia di manfaatkan sebaiknya demi kepentingan negeri-negeri terlibat termasuk Kelantan.
"Mesti ada perancangan teliti untuk mempastikan ada corak perubahan yang lebih ketara di Pantai Timur khususnya Kelantan. Kerajaan negeri dan majlis perbandaran harus juga bersama untuk bukan sahaja memanafaatkan kemudahan ini tetapi mencari jalan dan kaedah baru bagaimana boleh mencetuskan perubahan melalui pelaburan baru menggunakan peluang yang ada melalui pengangkutan bukan sahaja pengangkutan orang ramai rakyat tetapi juga pengangkutan dari segi bahan-bahan pengeluaran pertanian dan industri," katanya.
Pada masa sama, Anwar turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kerana mengikuti perkembangan kemajuan projek ECRL serta memberikan kerjasama baik terhadap pelaksanaan projek khususnya melibatkan urusan pengambilan tanah.
(Perdana Menteri ketika merasmikan Pembinaan Stesen Pertama ECRL di Kota Bharu/
FOTO BERNAMA.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob)
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan, dalam tempoh dua hingga tiga tahun sebelum siap projek ECRL mesti ada perancangan teliti untuk memastikan ada corak perubahan lebih ketara di Pantai Timur khususnya Kelantan.
Sementara itu, pada majlis sama Anwar turut membayangkan akan mengumumkan berita gembira untuk Kelantan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani, malam ini.
Ia meliputi tambahan projek dan peruntukan lebih dari apa yang diumumkan pada Belanjawan Madani sebelum ini.
"Saya akan sebut umpamanya beberapa keputusan baru lebih daripada apa yang di umumkan dalam Belanjawan Madani tahun lalu iaitu projek-projek yang saya percaya akan dapat membantu membangunkan negeri Kelantan supaya jangan ketinggalan daripada negeri lain," kata Anwar lagi.