SEPANG, 1 April- Tender berkaitan kajian kebolehlaksanaan mengenai kemungkinan projek kereta api di Borneo akan bermula pada Mei.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata pengumuman oleh sebuah syarikat swasta berkaitan cadangan Kereta Api Trans Borneo adalah tidak sahih dan ia diluar pengetahuan pihak kementerian.
Tambahnya, sebarang pengumuman pelaksanaan projek mega, hanya dikeluarkan oleh pihak kerajaan sahaja.
"Ini adalah satu pengumuman atau kenyataan yang dibuat oleh satu syarikat swasta. Saya nak menasihatkan semua pihak supaya berwaspada dengan pengumuman yang dibuat oleh mana-mana syarikat swasta berkenaan apa-apa projek besar seperti ini. Projek mega seperti ini hanya sahih sekiranya diumumkan oleh pihak kerajaan. Projek Trans Borneo ini adalah untuk membina satu jajaran kereta api, hanya merupakan cadangan sekarang."
"Kerajaan pada tahun ini akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan dan Kementerian Pengangkutan masih dalam proses memuktamadkan dokumen tender. Tender pun belum dipanggil. Untuk kajian kebolehlaksanaan itu akan dipanggil tender tahun ini, bulan Mei nanti. Jadi, kita jangkakan kajian itu akan mengambil masa lebih kurang sembilan bulan, baru kita tahu boleh dilaksanakan atau tidak termasuk daripada segi komersil, teknikal dan sebagainya," kata Anthony, hari ini, di sini.
Anthony menyatakan perkara itu kepada media selepas pelancaran Hab Pengangkutan Dinaik Taraf di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sebuah syarikat yang berpangkalan di Brunei, awal minggu ini mengumumkan akan memulakan projek Kereta Api Trans Borneo, yang dicadangkan untuk dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan laluan sepanjang 1,620 kilometer.