fb fb fb fb fb

Projek Hidroelektrik Nenggiri kurangkan banjir hingga 40 peratus

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Gua Musang, Nik Raisnan Daud / Foto RTM

GUA MUSANG, 27 Disember – Projek Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion di Sungai Nenggiri,Gua Musang, Kelantan dijangka membawa manfaat besar termasuk mengurangkan 40 peratus masalah banjir di negeri itu.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata projek Kerajaan Pusat itu akan menjadi sistem tebatan banjir yang mampu menyekat pengaliran air ke sungai dalam jumlah besar.

"Empangan ini akan menakung jumlah air hujan yang banyak dan menyekat air daripada terus turun ke dalam sungai. Dengan ini, kita dapat mengawal banjir di kawasan hiliran, terutama di Kota Bharu, sebanyak 40 peratus," katanya selepas meninjau kemajuan projek itu di Kampung Star, di sini.

Projek yang bermula pada Mac 2022 itu kini berjalan lancar walaupun dalam musim tengkujuh.

Tambah Nik Raisnan, Gua Musang merupakan punca tadahan air utama bagi Sungai Lebir dan Sungai Nenggiri dan dengan kawalan aliran air di kawasan itu, risiko banjir di kawasan hiliran dapat dikurangkan secara signifikan.

Projek Hidroelektrik Nenggiri turut dijangka menjana 300 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui, membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer persegi dan Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97 kilometer persegi.

Projek tersebut dijangka siap dan mula beroperasi pada November 2027.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN