AYER KEROH, 27 Disember- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini menetapkan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dipindahkan ke blok pembangkang.
Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum berkata, keputusan itu berkuatkuasa serta merta.
Ia sekali gus menjadikan DUN Melaka, 25 kerajaan, tiga pembangkang.
"Speaker dengan mempunyai kuasa yang berdasarkan Peraturan 9 (1) , 36 dan 37 Peraturan Dewan menentukan kedudukan ADUN Rembia dalam dalam blok pembangkang.
"Maka dengan ini saya mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri Melaka yang mempunyai 28 kerusi kini terdiri daripada 25 ADUN yang menyokong kerajaan dan tiga blok pembangkang dan ianya berkuatkuasa serta merta," kata Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum.
Namun keputusan itu tidak akan menyebabkan berlaku pilihan raya kecil (PRK) di Melaka.
Keputusan dibuat selepas beberapa usaha mendapatkan keterangan daripada Datuk Muhammad Jailani dan Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai kedudukan ADUN Rembia itu dalam parti berkenaan gagal.
Terdahulu, pada 16 Julai 2024, Datuk Seri Takiyuddin dalam satu sidang media mengumumkan bahawa Datuk Muhammad Jailani telah menyertai PAS pada 10 Jun 2023.
Namun, ADUN Rembia itu tidak mengeluarkan sebarang maklum balas sama ada mengesahkan atau menidakkan kenyataan berkenaan.