PUTRAJAYA, 27 Disember 2024 – Wisma Putra, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat terkini susulan sebuah bas pelancong terjunam ke dalam tasik di utara Norway.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 tengah hari pada waktu tempatan, dilaporkan bas itu membawa sekumpulan pelancong asing termasuk rakyat Malaysia.
Wisma Putra berkata sebuah pasukan konsular telah dihantar untuk memberikan bantuan segera kepada warga Malaysia yang terlibat.
"Kementerian Luar Negeri menyatakan kebimbangan susulan kemalangan bas pelancong yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang berlaku berhampiran Tasik Åsvatnet, Norway.
"Kemalangan tersebut terjadi akibat cuaca buruk, termasuk salji lebat dan angin kencang, yang menyebabkan bas hilang kawalan sebelum terlibat dalam kemalangan.
"Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat atau bantuan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Stockholm di talian +46 8440 8400 (waktu pejabat) / +46 73 536 9152 (luar waktu pejabat & hujung minggu) dan emel
Tambah kenyataan itu, Wisma Putra akan terus memantau situasi tersebut dan mengeluarkan maklumat terkini mengenai insiden itu.
Daripada 58 penumpang, dilaporkan tiga orang maut, manakala empat lagi cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Stokmarknes.
"Walaupun cuaca buruk menyukarkan operasi menyelamat, pihak berkuasa Norway berjaya memindahkan semua penumpang yang terselamat ke tempat selamat.
"Menurut laporan awal, penumpang bas terdiri daripada pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis, dan Ukraine," ujarnya.
Tambahnya, maklumat lanjut mengenai kejadian itu dijangka diumumkan oleh pihak berkuasa pada 27 Disember (hari ini).