fb fb fb fb fb

Projek ECRL berjaya capai penembusan 30 terowong

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

KUANTAN,12 Mac- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merekodkan penembusan tiga terowong dalam sehari di daerah Bentong, Pahang.

Kejayaan itu menjadikan 30 jumlah terowong di sepanjang jajaran ECRL selesai dengan kerja-kerja pengorekan setakat ini.

Tiga terowong tersebut adalah terowong Bentong 1 sepanjang 561 meter, terowong Kampung Lentang 1 sepanjang 270 meter dan terowong Kampung Lentang 2 sepanjang 478 meter.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak dalam kenyataan berkata, pencapaian tersebut disokong teknologi pengorekan terowong yang canggih dan kerjasama erat pasukan ECRL.

MRL optimis pembinaan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak akan siap menjelang Disember 2026.

Ini memandangkan kerja-kerja pengorekan terowong yang mencabar dan kebergantungan keadaan geologi berjalan lancar mengikut jadual.

Secara keseluruhan projek mega ini mencapai kemajuan sebanyak 62.40 peratus setakat Februari lalu.

ROSLINA BINTI DIN