fb fb fb fb fb

Projek Bekalan Air Masyarakat, selesaikan isu gangguan bekalan air bersih di Sik


SIK, 20 Februari-
Masalah gangguan bekalan air bersih yang membelenggu kira-kira 1,000 penduduk Kampung Charok Kudong dan kawasan sekitarnya di Sik kini mendapat perhatian.

Projek Bekalan Air Masyarakat kini sedang dibina bagi menyalurkan bekalan air ke rumah penduduk sekitar.

Pembinaan Projek tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Sik (PUSRASIK) dengan kos sekitar RM20,000.

Menurut Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.

"Ia sangat memberi kelegaan kepada penduduk kampung yang pada ketika ini mereka menghadapi masalah bekalan air bersih daripada pembekal air, operator air kerana tekanan yang agak rendah. Jadi ini salah satu alternatif yang diusahakan secara bersama oleh penduduk kampung dan pejabat saya sebagai ruang untuk kita memperbaiki lagi infrastruktur air khususnya di daerah Sik ni," katanya.

Bagi penduduk kampung, Izwanhadi Md Zuki, pelaksanaan projek tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mereka untuk melaksanakan urusan harian.

"Dia terutama waktu malam, dulu tiada masalah, sekarang di Sik ni perumahan dah banyak dibangunkan, jadi tekanan air untuk sampai ni jadi perlahan..itu yang kami pun buat program air masyarakat ni," katanya.

Sebanyak 15 Projek Bekalan Air Masyarakat yang diusahakan oleh PUSRASIK, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta pertubuhan badan bukan kerajaan ( NGO) telah dan sedang dilaksanakan di daerah Sik.

Media Baharu