BANGI, 2 Oktober – Seramai 243 prospek penjara menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam bidang Operasi Manual Pembersihan Awam selepas menamatkan latihan lapan bulan di bawah program ‘Sinar di Sebalik Tirai Besi’ anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, program tersebut bukan sahaja membina kemahiran graduan, malah terbukti berjaya melahirkan lebih 1,100 graduan sejak 2023, dengan beberapa daripada mereka kini diterima bekerja oleh syarikat konsesi seperti Alam Flora dan SWM Environment.
“Kita melahirkan graduan daripada penjara yang diberikan peluang kedua, nafas baharu dalam hidup mereka dan kita mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
"Ia khusus dalam sektor pembersihan awam, terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang yang dijangka mula melaksanakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) mulai tahun depan,” kata beliau ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen SWCorp Kali Keempat di Bangi Avenue Convention Center (BACC), di sini, hari ini.
Program yang bermula Ogos 2024 ini dijalankan di 18 Pusat Vokasional Industri Penjara seluruh Semenanjung Malaysia, dengan peserta menerima latihan teori, praktikal serta elaun sebanyak RM500 sebulan.
SWCorp turut merancang untuk memperluas latihan ke bidang pengurusan tapak pelupusan, sektor pembinaan, komersial, perindustrian, dan kraftangan, menyediakan prospek penjara dengan kemahiran bernilai sebelum kembali ke masyarakat.